12 Julai 2008

Temubual Harakah dengan TG Haji Hadi


Bismillahirrahman nirrahim.. Assalamu alaikum wbt...

Berikut adalah sedutan temubual Harakah dengan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Artikel ini disiarkan dalam Harakah terbaru 10 Julai yang sudah ada di pasaran. Ikuti kupasan dan pandangan Tuan Guru yang tegas dalam menyatakan sikap dan pendirian PAS.


HARAKAH: Apa penjelasan Tuan Guru mengenai dakwaan PAS ada perbincangan dengan Umno yang disensasikan media baru-baru ini?

USTAZ HADI: PAS adalah parti yang menegakkan Islam dengan makna yang menyeluruh. Sasaran Islam ialah seluruh manusia bukan sahaja tertumpu kepada ahli PAS. Kita harus sampaikan mesej kepada pihak yang lain, sebagaimana yang diajar Nabi Muhammad.

Bukan sahaja bergerak dalam skop di Semenanjung Tanah Arab bahkan Baginda menghantar surat kepada raja-raja. PAS juga wajib meneruskan mesej itu dalam konteks negara kita. Kita jumpa dengan raja-raja dan tidak salah juga kita berjumpa dengan Umno untuk menyampaikan mesej kita. Kalau tidak jumpa dengan Umno macam mana nak sampaikan mesej kita?

Maknanya benarlah dakwaan adanya pertemuan tersebut?

Pertemuan antara individu PAS dengan individu Umno dalam menyampaikan mesej Islam kepada mereka.

Hasil pertemuan dan rumusan PAS?

Kita beri penekanan kepada kepentingan Islam supaya Umno berubah. Iaitu merujuk kembali kepada kesilapan yang mereka lakukan yang merugikan umat dan agama Islam itu sendiri. Sebagai contoh, dalam masalah pilihan raya. Yang dikira oleh Umno hanya untuk menangkan parti dia, bukan untuk memenangkan Islam. Dalam pilihan raya ke-12 pun Umno tidak kalah, yang kalah MCA, MIC.

Mereka membuat pembahagian kawasan pilihan raya berdasarkan kepada kepentingan mereka. Penambahan kawasan baru itu dilakukan di Sabah, Sarawak dan Johor. Mengapa tidak ditambah kerusi Parlimen di Kelantan, Terengganu dan Kedah? Ini kerana mereka hendak menjaga kerusi mereka dan bukan kepentingan Islam. Dalam masa yang sama mereka membahagikan kerusi ataupun kawasan pilihan raya yang majoriti Islam kepada wakil rakyat yang bukan Islam. Ini tidak wajar.

Cuba lihat dalam Pakatan Rakyat, DAP menang di kawasan majoriti kaum Cina, tetapi MCA dan MIC menang di kawasan majoriti Melayu yang diberi oleh Umno. Ini dengan sendiri boleh menghakiskan kedudukan orang Islam dari segi politik.

Tetapi bukankah PAS mahu perpaduan yang lebih meluas?

Sekarang ini kita menunggu apa respons daripada Umno dan rakyat. Dan saya pernah berucap dalam perhimpunan di Stadium Melawati, Shah Alam (di awal penubuhan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor). Saya tidak tahu mereka sedar atau tidak, tetapi saya sebut soal perpaduan nasional di kalangan parti politik yang perlu dibincangkan lebih serius dan bukan separuh jalan.

Perpaduan ini tidak semestinya kita paksa semua parti masuk BN atau gabung satu parti. Ini termasuklah wujudkan demokrasi tulen sebagaimana negara yang sihat demokrasinya. Sebagai contoh bukan sahaja pembangkang boleh bangkang tetapi yang mewakili kerajaan juga boleh bangkang. Dalam negara kita, kalau wakil rakyat kerajaan yang bangkang ini akan diambil tindakan disiplin. Bahkan di Barat parti kerajaan boleh sokong undi tidak percaya, yang dibuat oleh pembangkang. Adakah di Malaysia hal ini berlaku? Tidak berlaku.

Tuan Guru fikir Umno boleh terima pandangan PAS?

Kepada PAS, orang Melayu mesti menjadi teras kepada politik negara. Ini diterima oleh semua kaum. Bukan pula bermakna hanya orang Melayu yang berhak dalam politik dan kekuasaan tetapi teras politik kita berpihak kepada orang Melayu sebab melihat kepada jumlah penduduk Islam yang majoriti dalam negara ini. Ini perlu diambil kira. Tapi malangnya Melayu sendiri hanyut dalam merealisasikan Islam itu sendiri sebagai kekuatan orang Melayu.

Sebagai contoh kita tidak sedar Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan. Agama lain berhak dianut dan diamalkan tetapi di sana ada peruntukan Jadual 9 yang menyekat pelaksanaan Islam setelah diserah Islam itu di bawah kuasa negeri. Tetapi ada peruntukan yang menghalang pelaksana syariat Islam dalam makna yang menyeluruh.

Walaupun dalam mazhab Islam ada ulama yang sebut syariat Islam itu boleh dilaksanakan kepada orang Islam dan bukan Islam berhak diberi pilihan. Dalam beberapa perkara tertentu boleh kita bahagikan perundangan sebagai contoh kepada tiga bahagian. Yang pertama perkara yang diberi kepada penganut agama masing-masing dalam masalah ibadat undang-undang keluarga dan perkahwinan itu agama masing-masing.

Dan di sana ada syariat Islam seperti Hudud, Qisas dan Takzir, yang diwajibkan Tuhan dalam al-Quran di mana undang-undang ini wajib bagi Islam. Adapun orang bukan Islam boleh diberi pilihan sama ada nak undang-undang ini atau tidak. Dan di sana ada hukum yang bersama seperti undang-undang jalan raya serta hak milik tanah pertanian dan kediaman tidak ada beza.

Sepatutnya kita perkenalkan keadilan Islam ini kepada masyarakat di saat kita lihat kegagalan sistem yang lain daripada Islam.

Mengenai perpaduan berteraskan Islam dan politik Malaysia, Melayu jadi tunggak. Bagaimana ini hendak diterjemah dalam Pakatan Rakyat. Adakah DAP boleh menerimanya?

Sehingga hari ini kita hanyalah wujudkan persefahaman dalam menghadapi pilihan raya sahaja dengan melihat titik persamaan yang ada, seperti dalam menentang kezaliman, menuntut demokrasi yang bersih, menyeru supaya diperbetulkan penyelewengan yang berlaku, tangani rasuah. Ini perkara bersama. Tetapi bila kita ada kuasa di peringkat negeri, sebagai contoh, di sini kita lihat pembahagian yang saya sebut tadi.

Dalam perkara yang jadi hak orang Islam, DAP tidak boleh sentuh itu hak orang Islam. Macam kita tidak sentuh hal agama mereka. Mereka janganlah sentuh soal hendak memperlahankan suara azan kita, seperti kita tidak minta dia jangan main mercun masa sambutan malam tahun baru, mereka kena saling hormatilah. Itu menandakan di sana ada beberapa perkara yang perlu dipertahankan dan hormat menghormati.

Apa pandangan Tuan Guru mengenai rundingan yang berlaku antara Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan kelompok yang hendak menyertai Pakatan Rakyat?

Bukan dia (Anwar) sahaja, kita pun berhak untuk mengadakan perundingan. Sama juga DAP. Mereka ada hak buat perundingan. Kalau Keadilan sahaja boleh jumpa Umno, PAS tidak boleh jumpa dengan Umno macam mana? Ini yang tidak betulnya.

Adakah ini salah faham (mengenai hubungan PAS-Umno)?

Orang lain boleh jumpa Umno, kenapa PAS tidak boleh jumpa Umno? Itu tidak faham namanya. Atas dasar Islam kita berhak. PAS boleh berunding dengan mana-mana pihak. Tidak ada sesiapa yang jadi Ketua Pakatan Rakyat. Pimpinan secara kolektif dan kita setuju masing-masing pemimpin parti mencari pengaruh mengajak rakan dalam BN supaya bersama dengan kita. Oleh sebab itu, tidak timbul isu mengapa orang PAS jumpa Umno.

Itu politik kampung sahaja yang tidak boleh (melarang) jumpa dengan Umno dan orang PAS. Kita dah uar-uarkan 'engagement' yang disebut dalam muktamar kita, ini keterbukaan kita.

Penerimaan ahli PAS mengenai 'engagement' seperti ini macam mana?

Saya lihat inilah yang menyebabkan berlakunya perubahan dalam pilihan raya umum ke-12 yang telah memberi kemenangan kepada PAS. Dan orang PAS boleh buat kerja untuk memenangkan Pakatan Rakyat. Perlu disedari bahawa PAS yang paling banyak cawangan. PAS yang paling banyak pekerja dalam pilihan raya ke-12. Orang PAS sedia bekerja bagi pihak parti lain. Jadi, selepas capai kemenangan perlu diambil kira peranan orang-orang PAS ini. Sebab orang PAS bukan bodoh! Jangan ketepikan peranan mereka selepas kita menang pilihan raya.

Mungkin PAS mahu dilihat sebagai entiti penting dalam Pakatan Rakyat?

Ya, bahkan undi popular perlu dilihat kepada undi menyeluruh. PAS beri penekanan kepada kerusi negeri. Negeri kita dapat 83 kerusi, DAP 73 dan Keadilan dapat 40. Ini perlu dilihat bukan lihat kepada Parlimen sahaja. Kawasan Parlimen ini didukung oleh kerusi negeri.

Dakwaan liwat terhadap Dato' Seri Anwar. Adakah ia mengganggu Pakatan Rakyat atau PAS?

Saya tidak mahu kerja-kerja politik diganggu oleh isu-isu berkait dengan masalah individu. Masalah individu diselesaikan secara masalahnya sendiri. Oleh kerana itu saya lebih bersetuju supaya masalah itu diselesaikan di mahkamah yang adil. Kalau Mahkamah Sivil tidak boleh selesai, mestilah dibawa ke Mahkamah Syariah. Yang cara bersumpah (mubahalah) ini, (perlu) sekiranya tidak ada mahkamah.

Maknanya ia perlu selesai di mahkamah?

Ya! Ya! Selesaikan di mahkamah ....

Isu Anwar, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, Altantuya dan macam-macam berlaku, telah mencetuskan kecelaruan politik sekarang. Apakah pandangan Tuan Guru?

Malangnya yang memainkan isu ini adalah media. Media Melayu pula. Melibatkan pemimpin-pemimpin Melayu. Adakah mereka tidak malu mengemukakan isu-isu ini (pendedahan hal peribadi yang mengaibkan), sedangkan kita menghadapi masalah kenaikan harga minyak, masalah inflasi yang lebih penting. Bagaimana hendak menangani masalah rasuah, masalah jenayah. Kes bunuh Altantuya adakah berbeza dengan kes bunuh Pak Long, Mak Ngah, Ah Chong di kampung yang dibunuh? ... sama sahaja. Sepatutnya ialah soal keadilan itu untuk semua sebagaimana slogan dalam pilihan raya.

Mengapa pembunuhan Altantuya ini dibesarkan, sedangkan pembunuhan di kaki lima dibiarkan? Yang penting penyiasatan yang adil kepada semua itu perlu. Dalam isu ini barangkali ada kepentingan politik sama ada tuduhan membabitkan Anwar ataupun Najib? Yang pertama sikap orang yang jadi pemimpin itu sendiri dan yang kedua sikap media itu sendiri. Mesti berpada-pada bukannya 'loose'. Itu yang penting.

Ada pandangan menyatakan perlunya pimpinan Melayu seperti Anwar, Tuan Guru sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi duduk bincang soal Islam dan Melayu?

PAS sudah lama mendesak muzakarah diadakan di kalangan pemimpin Islam dan parti-parti orang Melayu sejak tahun 50-an hingga kini. Keadaan itu masih terbuka. Bahkan sebaik sahaja buka pintu muzakarah, PAS (akan) sertai. Kalau dibuka itu respons kita. Tetapi asas muzakarah itu mestilah didasarkan kepada asas akidah dan ajaran yang dianuti oleh orang Melayu itu sendiri iaitu Islam.

Berbalik kepada isu Anwar, mahu atau tidak isu membabitkan beliau perlu dihadapi dan diterima dan implikasinya kepada PAS juga yang sertai Pakatan Rakyat. Apa pandangan Tuan Guru?

PAS ada pengaruh dan kedudukannya sendiri. PAS simpati dengan rakan Pakatan Rakyat yang terima padah dari fitnah ini dan kita sama-sama ambil tanggungjawab untuk mengatasinya sebaik mungkin. Tetapi PAS tetap utuh dengan sebagai parti yang ada akar umbi yang sudah lama dan bertapak begitu kuat. Dan saya rasakan bahawa apa yang ditumpukan oleh orang PAS ialah untuk menegakkan Islam itu dengan makna yang menyeluruh.

Apabila banyak fitnah, adakah ini petanda sudah tiba masanya Malaysia menggunakan lebih banyak undang-undang Syariah supaya wujud keadilan dalam negara?

Saya bersetuju! Islam pun perlu diberi peluang untuk dilaksanakan dan bermula dengan orang Islam sendiri sebagaimana yang kita luluskan di Kelantan dan Terengganu semasa PAS memerintah. Di mana undang-undang Syariah itu dimulakan dengan orang Islam. Sementara orang bukan Islam diberi pilihan sama ada mereka mahu undang-undang Islam atau tidak tetapi dalam kes peribadi dan agama kita tidak campur. Itu sudah jelas.


Harapan Tuan Guru mengenai muktamar tahunan PAS yang akan berlangsung Ogos ini?

Muktamar kali ini ialah muktamar pascapilihan raya. Satu anjakan paradigma berlaku dalam politik negara secara umum termasuk orang PAS sendiri. Kita berjaya pecahkan tembok perkauman antara kaum dan pelbagai agama. PAS berjaya tubuhkan Kelab Penyokong PAS yang disertai oleh bukan Islam yang menyatakan sokongan kepada PAS secara terbuka. Mereka kerja secara sukarela kepada PAS. Mereka memenangkan calon PAS di peti-peti undi sebagai tambahan kepada kekuatan PAS yang sudah ada.

Yang kedua, perubahan di kawasan bandar yang dapat maklumat moden melalui perkembangan ICT. Di sini menunjukkan betapa rakyat perlu dapat maklumat bebas dan terkini yang menyaksikan PAS dapat sokongan di bandar dan pinggir bandar.

Ketiga, walaupun PAS tidak mendapat kerusi Parlimen sebanyak kerusi pada tahun 1999, namun kali ini berlaku satu perubahan. PAS dikatakan menjadi 'king maker' kepada politik negara. Dalam penyertaannya melalui kerajaan campuran di negeri yang tidak dikuasai sepenuhnya seperti di Kedah.

Dalam keadaan PAS adakan campuran dengan parti lain di Perak, rakan Pakatan Rakyat memberi kepercayaan kepada PAS memimpin dua buah negeri Kedah dan Perak selain yang telah ada Kelantan. Satu negeri kepada Keadilan di Selangor dan satu negeri kepada DAP di Pulau Pinang.

Jadi ini menunjukkan kepercayaan yang diberi Pakatan Rakyat untuk memimpin negeri. Dan kita hargai kepercayaan ini. Apa yang penting PAS mesti laksanakan slogan semasa pilihan raya iaitu 'Islam For All'. Itu mesti direalisasikan. Sebab itu kita harapkan NGO dan parti bukan Islam jangan risau dengan pelaksanaan ini. Kita harap apa yang disebut sebagai 'Islamophobia' tidak berlaku kepada rakyat Malaysia.

Kita dah ada model di Kelantan. Kini masuk penggal kelima, dan di Terengganu satu penggal. Tidak ada sebab mereka risau jika kita realisasikan slogan tadi. Kepada ahli PAS, teruskan bekerja bukan sahaja untuk pilihan raya ke-12, dalam masa yang sama kerja selepas PRU-12 untuk isi kemenangan.

Kepada rakan-rakan Pakatan Rakyat kita harapkan supaya jentera PAS jangan digunakan untuk menjayakan pilihan raya ke-12 sahaja, sebaliknya selepas pilihan raya itu seolah-olah mereka tidak ada peranan lagi.


Petikan http://amdang81.blogspot.com



Sambungan...

11 Julai 2008

Perdana Menteri Letak Jawatan


Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa beliau akan menyerah kuasa kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak pada Jun atau pertengahan tahun 2010.

Beliau membuat pengumuman tersebut selepas pertemuan dengan ketua-ketua bahagian Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Sebelum itu, beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno lebih dua jam mulai jam 3 petang tadi.

Perdana menteri berkata, keputusan tersebut diterima oleh MT dan pemimpin-pemimpin parti itu.

"Saya telah beri penjelasan mengenai perkara ini kepada MT dan ketua-ketua bahagian, termasuk Pemuda, Wanita dan Puteri sebentar tadi.

"Mereka boleh menerimanya dan memberi hormat berdiri kepada keputusan saya.

Abdullah berkata, beliau memilih Najib kerana beliau seorang yang baik dan boleh menjadi pemimpin yang baik.

"Peralihan kuasa bermula dengan apa yang umumkan hari ini. Dalam jangka masa itu, saya akan bertanding jawatan presiden parti dan saya telahpun nyatakannya kepada Datuk Najib (untuk bertanding presiden).

Hargai persahabatan

"Saya hargai persahabatan, persefahaman yang cukup tinggi dalam pelbagai isu yang sama-sama dihadapi dalam parti dan kerajaan.

"Dalam tempoh itu, kerja-kerja akan terus dilaksanakan bersama.

"Datuk Najib juga telah berucap kepada ketua-ketua bahagian dan pemimpin-pemimpin di majlis sesi taklimat khas hari ini," katanya sambil menambah niat beliaumembuat peralihan adalah untuk mengukuhkan parti.

Buat sementara itu, katanya, mereka berdua akan terus kukuhkan parti supaya dapat balik sokongan rakyat seperti sebelum ini.

Abdullah juga berkata, beliau tidak akan lagi mengetuai parti dalam pilihanraya umum akan datang.

"Saya menghargai kedudukan Najib yang boleh menerima cadangan-cadangan saya. Apa yang diumumkan, dapat diterima dengan baik," katanya.

malaysiakini

Sambungan...

10 Julai 2008

bin Abdullah

Mulai semalam anak angkat dalam keluarga Islam tidak lagi dibenarkan dibin @ binti kan dengan nama bapa angkat. Syed Hamid Albar berkata beliau telah mengeluarkan arahan rasmi tentang perkara itu kepada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri.

"Arahan ini dikeluarkan bagi mematuhi keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang dibuat pada 2000 yang mengharamkan anak angkat dibin atau dibintikan kepada bapa angkat mereka.

"Bagaimanapun, Ketua Pengarah Pendaftaran ketika itu menggunakan budi bicara membenarkan bapa angkat mendaftarkan anak angkat menggunakan nama mereka tanpa dipisahkah oleh bin atau binti, sebagai contoh, Aminah Zaki dan tidak Aminah binti Zaki," katanya di lobi Parlimen semalam.

Kenapa perkara ini berlaku? Bayangkan sudah berapa ramai anak2 angkat yang bercampur gaul dengan adik beradik angkat tanpa menyedari batas halal haramnya. Dari segi aurat dan sebagainya. Keputusan fatwa sudah dikeluarkan pada tahun 2000 lagi, tapi baru semalam nak dikuatkuasakan? Kalau tak ada fatwa pun sepatutnya perkara ini tidak berlaku. Hukum agama dah jelas.

Kalau dilihat pada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, memang banyak fatwa yang dikeluarkan tapi tidak diikut oleh pelbagai agensi kerajaan sendiri. Fatwa hanya sekadar fatwa, tapi tiada siapa nak ikut, orang boleh langgar sesukahati tanpa ada tindakan boleh diambil oleh Jawatankuasa Fatwa. Apa peranan Penasihat Agama PM? Apa peranan menteri dan timbalan menteri yang menjaga hal ehwal Islam?

Bolehkah Ketua Pengarah JPN yang lalu didakwa di mahkamah syariah? Peruntukan undang2 yang mana satu hendak dipakai untuk buat pendakwaan? Atas tuduhan menghina Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan? Ada tak enakmen tentang perlanggaran fatwa majlis fatwa?

Entahlah apa nak jadi dengan kerajaan " negara Islam" Malaysia ini. Tak ada kesedaran Islam langsung. Tak ada tarbiah Islam. Bila Kerajaan Kelantan nak cadang wajibkan syarat kenaikan pangkat dan lantikan baru kakitangan kerajaan negeri mesti individu yang solat 5 waktu dan solat Jumaat, timbalan menteri yang jaga agama sendiri membantah, bukannya nak membantu memperkemaskan perlaksanaannya.

Ya Allah, selamatkanlah negara kami dari golongan yang buta agama ini. Jauhkan kami, bebaskan negara kami dari kerosakan yang dibawa oleh mereka yang meremeh2 agama Mu.

Petikan Sini


Sambungan...

07 Julai 2008

Bersumpah - Saya Akan Lakukan


"Jika mahu saya bersumpah dengan nama Allah, insya-Allah saya akan lakukan,"demikian kata Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan oleh Malaysiakini sewaktu berceramah di hadapan lebih 30,000 orang di Stadium MPPJ, Kelana Jaya malam tadi.
Menurutnya, beliau sanggup bersumpah dan dibicarakan di mahkamah syariah terhadap tuduhan liwat terhadapnya, dengan syarat ia mengikut undang-undang syariah sepenuhnya.

"Saya mencabar mereka memberikan bukti-bukti sebelum menuduh dan mengaitkan saya.
"Saya sedia menerima apa sahaja hukuman jika dibuat mengikut undang-undang yang adil.
"Saya akan tunduk jika mereka boleh memberikan bukti tuduhan terhadap saya.
"Jika mahu saya bersumpah dengan nama Allah, insya-Allah saya akan lakukan," tegasnya diikuti tepukan gemuruh para hadirin.


Malaysia mesti diselamatkan
Ucapan beliau malam tadi merupakan acara kemuncak perhimpunan rakyat membantah kenaikan harga minyak semalam.
Menurut Anwar lagi, pada 1998, katanya, beliau dituduh dengan kes yang hampir sama.
"Saya telah bertanya kepada ulama-ulama, mereka melarang saya bersumpah.
"Tetapi saya tetap bersumpah, namun saya dipukul dan dipenjarakan.
"Mengapa kes ini dibangkitkan sekarang? Kerana kita maju ke depan. Kamu main drama 'Sivaji The Boss', kita main drama 'Sivaji The Boss'.
"Malaysia mesti diselamatkan, Malaysia mesti diselamatkan, Malaysia mesti diselamatkan," ulang Anwar sambil disambut temukan gemuruh dan laungan reformasi.
Pada 28 Jun lalu, pembantu khas Anwar, Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis mendakwa mantan timbalan perdana menteri itu meliwatnya di Kondominium Desa Damansara, beberapa kali sekitar bulan Jun lalu.
Sebelum ini, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan supaya isu liwat yang mengaibkan itu diselesaikan secara mubahalah atau "sumpah" sekiranya ia tidak dapat diselesaikan secara perundangan dunia.
Manakala, Pergerakan Pemuda Umno Terengganu meminta mufti Perlis itu tampil sebagai orang tengah bagi membawa mereka yang terbabit dalam mubahalah dengan alasan Dr Mohd Asri tidak dipengaruhi mana-mana badan politik.
Dan semalam, Dr Mohd Asri mencadangkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi orang tengah yang akan membawa Anwar dan Saiful untuk "mubahalah" atau 'bersumpah' sebagai jalan penyelesaian isu liwat yang kini menjadi tumpuan nasional.
Saya akan bongkar habis-habisan
Dalam ceramahnya juga, Anwar mendakwa beliau tidak mahu isu tuduhan liwat ini menjadi isu peribadi beliau.
"Tetapi (ia) diulang dengan jahat dan (dengan) fitnah yang kejam. Kita tidak terima ini.
"Saya akan bongkar habis-habisan. Siasatan polis tidak seteruk tahun 1998-1999 tetapi akan beri kerjasama penuh untuk siasatan," kata Anwar lagi.
Anwar berkata, jika beliau dipukul, ditangkap dan dipenjarakan lagi, ia tidak akan menyelesaikan masalah.
Beliau bertanya selama enam tahun beliau di dalam penjara, adakah politik baik, rasuah turun dan harga minyak turun?
Anwar menambah, politik sudah tidak terkawal dan kerajaan Pakatan Rakyat mahu memulihkan keyakinan pelabur.
Mengenai dakwaan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hamid Albar bahawa beliau memberi maklumat kepada Amerika Syarikat, Anwar berkata:
"Kalau ada bukti saya telefon dan surat yang saya hantar kepada Amerika Syarikat, saya boleh diambil tindakan.
"Jika tidak saya akan saman kamu," katanya disambut tepukan gemuruh pada hadirin.
Anwar juga berkata, beliau sedia berdebat dengan Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek pada 15 Julai ini berhubung isu kenaikan harga minyak.
Bagaimanapun, katanya, lebih baik debat itu dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Timbalannya, Dato' Seri Najib Tun Razak. -

Petikan - Harakah


Sambungan...

06 Julai 2008

TPM Tak Gentar


PEKAN 5 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak gentar menghadapi dugaan termasuk fitnah yang dilemparkan kepadanya kerana yakin kebenaran akan muncul jua.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan menghadapi segala tuduhan dengan sabar dan tenang.
‘‘Saya tidak gentar menghadapi dugaan, saya tidak takut menghadapi fitnah kerana kebenaran tetap akan muncul nanti. Saya dan isteri akan menghadapi segala-galanya.
‘‘Saya tahu kebenaran tetap akan timbul dan yang hak akan mengatasi yang batil. Allah sahajalah yang menentukan mana yang benar, Allah juga yang akan membalas (kejahatan) kalau tidak di dunia ini, di akhirat. Silap-silapnya tak payah di akhirat, di dunia pun dah dapat balasannya,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Berkelompok Tahunan UMNO Bahagian Pekan di sini hari ini.
Menurut beliau, sebagai hamba Allah, apa yang harus dilakukan sekarang ialah meneruskan perjuangan bagi memastikan agenda rakyat dapat direalisasikan segera.
‘‘Saya akan terus berjuang dan berbakti untuk kepentingan rakyat sama ada di kawasan Pekan mahupun di seluruh negara. Saya akan teruskan apa yang saya buat.
‘‘Saya akan terima orang yang datang ke rumah saya, setakat mana saya mampu melayani mereka. Setakat mana yang saya boleh (penuhi permintaan) tandatangan surat, saya tandatangan surat. Minta saya tenyeh, saya tenyeh.
‘‘Minta tolong saya, sekadar saya mampu tolong, saya tolong. Saya akan buat... akan berbakti kerana itu amanah dan tanggungjawab saya. Tetapi tuan-tuan dan puan- puan pun ada tanggungjawab. Tanggungjawab memastikan UMNO terus kuat,” katanya.
Dalam hal ini, beliau menggesa pemimpin parti pelbagai peringkat membantu memberi penjelasan kepada rakyat tentang apa yang berlaku di dalam negara dan bukan hanya pandai mengkritik pucuk pimpinan.
Najib turut mengingatkan mereka yang telah dipilih sebagai wakil rakyat pada pilihan raya umum lalu, agar bekerja keras untuk terus memenangi hati rakyat.
‘‘Ini kita duduk di kedai kopi, di situ kita kritik pemimpin, semua tidak betul, walhal kita lebih banyak tidak betul, lebih banyak tidak buat kerja, lebih banyak melunjur kaki daripada berjuang dan berjihad untuk parti, bangsa, negara dan agama.
‘‘Buat kerja. Ini bukannya masa untuk kita berbalah sesama sendiri. Bukan masa untuk kita berkerumun, berlonggok sana, berlonggok sini mengata orang. Ini masa pastikan kegemilangan UMNO akan timbul balik di kawasan kita dan negara,” kata beliau.
Beliau mahu setiap pemimpin yang diberi amanah memastikan semua rakyat di kawasan masing-masing berpuas hati dengan perkhidmatan mereka.
‘‘Maknanya, jangan jaga penyokong kita sahaja, saudara mara kita sahaja, puak-puak kita sahaja (tetapi) semua orang iaitu ahli UMNO, yang bakal menjadi ahli UMNO, bakal menyokong Barisan Nasional, semuanya mesti di bawah naungan UMNO,” katanya.
Beliau percaya, segala usaha dan bakti tersebut jika dilakukan dengan hati yang ikhlas, akan menjadi benteng serta perisai kepada mereka sendiri dalam berhadapan dengan segala dugaan dan cabaran.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Peramu Jaya 3 di padang awam Peramu Jaya di sini pula, Najib berkata, beliau tidak bercadang memohon perintah injunksi bagi menghalang mana-mana pihak daripada memfitnahnya dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Baginya langkah itu tidak perlu terutama selepas penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam yang menuduh kononnya beliau ada hubungan dengan wanita Mongolia itu sendiri menarik balik akuan bersumpahnya.
Tegas beliau, penarikan balik akuan bersumpah itu sekali gus membuktikan dirinya tidak ada kaitan dengan Altantuya.
‘‘Buat apa saya hendak dapatkan perintah injunksi kerana dia (Balasubramaniam) telah menarik balik akuan bersumpah yang pertama itu,” tegasnya.
Najib memberitahu, pihaknya bagaimanapun menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap Balasubramaniam berhubung akuan bersumpahnya itu.
‘‘Saya tidak mahu berlindung di sebalik perintah injunksi. Saya perlu membuat penafian sekeras-kerasnya terlebih dahulu tetapi sebelum saya mengambil tindakan selanjutnya, dia (Balasubramaniam) telah menarik balik,” katanya.
Najib menjelaskan, tindakannya membuat penafian terhadap tuduhan yang terkandung dalam akuan bersumpah pertama Balasubramaniam itu kerana pembangkang telah mempolitikkan kes pembunuhan Altantuya yang sedang dibicarakan di mahkamah.
Mengulas sama ada perkembangan terbaru itu menggugat kestabilan UMNO, Najib yang juga Timbalan Presiden parti yakin ahli semakin matang dalam menilai segala yang berlaku.

Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN


Sambungan...