19 Julai 2008

Polis Buat Kerja Gila

Pihak polis sengaja menimbulkan suasana ketegangan sebagai provokasi dengan mengadakan sekatan jalan raya dalam kehangatan isu liwat Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan ura-ura usaha Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan pusat.




Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu menyelar tindakan pihak polis yang disifatkan mengadakan sekatan jalan raya yang tidak perlu dan tidak menitik beratkan kesan dan masalah yang terpaksa ditanggung pengguna jalan raya akibat sekatan tersebut.

"Ini semua kerja gila, dan sengaja diada-adakan atau mungkin polis sudah tiada kerja lain yang hendak dibuat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Mengulas mengenai dakwaan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mengenai kemungkinan suatu perhimpunan akan dianjurkan dalam masa terdekat, beliau dengan tegas menafikannya.

"Kita (PAS) tidak ada sebarang perancangan untuk mengadakan perhimpunan buat masa ini.



"Bahkan sekiranya hendak diadakan perhimpunan pun, polis buat sekatanpun perhimpunan tetap boleh dijalankan," ujarnya.

Mantan Pengerusi Jawatankuasa Perhimpunan Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu turut menjelaskan perhimpunan 100,000 rakyat pada 10 November tahun lalu membuktikan sekatan jalan raya tidak memberikan apa-apa kesan kepada 'kekuatan suara hati dan kehendak' rakyat untuk menyampaikan hasrat mereka.

Sementara itu, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua pula menyifatkan tindakan polis mengadakan sekatan yang masih berterusan itu sebagai tidak bertanggung jawab serta menyusahkan rakyat.


"Ini satu perkara yang tidak masuk akal dan tidak bertanggung jawab," tegasnya.

ImageAhli Parlimen Batu itu melahirkan kehairanan terhadap pendirian dan tindakan pihak polis yang kelihatan sudah mula tersasar daripada peranan dan tanggung jawab mereka yang sebenar.

"Kerja polis bukan buat sekatan kerana ia tidak akan membantu apa-apa malah operasi tersebut akan melibatkan anggota polis yang ramai," ujarnya.

Dalam suasana indeks jenayah negara kian meningkat khususnya di Lembah Klang, beliau juga melahirkan kekesalan dengan sekatan tersebut yang telah memberi kesan buruk kepada ekonomi rakyat.

"Apa yang berlaku menyebabkan orang ramai marah kerana ia menyusahkan.

"Mereka tidak mempertimbangkan kesan apabila para peniaga terjejas pendapatannya, selain pengguna jalan raya yang mengejar urusan kerja masing-masing," katanya lagi.

Memburukkan lagi keadaan, pihak polis katanya mengambil keputusan menjalankan sekatan jalan raya dengan menggunakan khabar angin semata-mata.

"Itulah lambang tahap profesional dan integriti polis kita," ujarnya.

Semalam, menurut Khalid, sekatan jalan raya di 22 lokasi di seluruh negeri dibuat bagi membendung kecenderungan pihak tertentu mengadakan perhimpunan tanpa permit.

ImageSelain mencegah jenayah, beliau berkata, sekatan jalan yang sentiasa berubah lokasi itu perlu bagi memastikan tidak ada elemen tidak sihat yang mengganggu ketenteraman dan keselamatan masyarakat khususnya di Selangor.

"Saya sedar sekatan jalan ini menimbulkan ketidakselesaan tetapi saya mohon maaf. Ini membabitkan keselamatan, jadi kita perlu beri perhatian," katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Beliau ditanya mengenai sekatan jalan raya menghala ibu negara yang menyebabkan kesesakan teruk sejak Isnin lalu.

Dilaporkan lebih 1,600 pegawai dan anggota membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan, Unit Anjing Pengesan, Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Berkuda dan Unit Udara dikerah mengawal semua pintu masuk ke ibu kota.

Khalid berkata, walaupun Anwar Ibrahim dibebaskan semalam, polis tidak menolak kemungkinan penyokongnya mungkin mengadakan perhimpunan dalam tempoh terdekat.

Harakahdaily


Sambungan...

18 Julai 2008

Kenyataan Media Anwar Ibrahim 17 Julai

Hari Sabtu yang lalu, 12-07-2008, polis datang ke rumah saya untuk menyerahkan notis di bawah peruntukan Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah, mereka juga mengganggu keluarga saya dan meminta saya hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur (IPK KL) pada jam 2 petang, 14-07-2008, hari Isnin. Walaupun peguam saya sudah memberi jaminan bahawa saya akan hadir ke IPK KL pada hari Isnin 14-07-2008. Hari berikutnya, Ahad, polis telah menyerahkan satu perintah mahkamah ex-parte, menghalang saya dari berada di kawasan sekitar 5 kilometer dari Parlimen pada hari Isnin 14-07-2008. Akan tetapi kita semua sedar bahawa rumah saya sebenarnya berada dalam radius 5 KM dari Parlimen. Berdasarkan perintah mahkamah itu mereka sebenarnya meletakkan saya dalam tahanan rumah pada hari Isnin tersebut sekaligus menghalang saya dari hadir ke IPK KL.

Hari Isnin, 14-07-2008, kehadiran anggota polis di luar kediaman saya menguatkan jangkaan kami bahawa mereka bersedia untuk menahan saya sekiranya saya keluar dari kediaman saya dengan alasan saya sudah melanggar perintah mahkamah tersebut. Maka timbul persoalan perintah mahkamah mana yang saya harus patuhi, perintah ex-parte ataupun notis di bawah Seksyen 111 dari polis?

Hari yang sama, polis melalui seorang pegawai penyiasat, DSP Jude Pereira telah menulis dan telah fakskan kepada peguam saya pada jam 1.06pm, memberitahu saya harus hadir ke IPK KL pada hari Rabu, 16-07-2008 jam 2.00pm untuk membantu siasatan. Saya menyampaikan persetujuan saya untuk hadir dan ia dikomunikasikan melalui peguam saya, Tetuan S.N Nair dan Rakan-Rakan. Peguam saya menghubungi pihak polis melalui telefon dan juga surat pada hari yang sama.

Hari Rabu, 16-07-2008, saya berada di Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah, untuk memberi keterengan berhubung laporan polis yang dikemukakan di IPK Shah Alam pada 01-07-2008. Laporan tersebut berkaitan pembabitan Peguam Negara Gani Patail dan Ketua Polis Negara Musa Hasan dalam memalsukan bukti-bukti kes tahun 1998. Bagi memastikan kami hadir di IPK KL tepat pada jam 2.00 petang, kami terpaksa memendekkan sesi memberi keterangan di Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR), fakta ini jelas kerana kami sememangnya menyampaikan perkara tersebut kepada pegawai BPR yang ada hadir.

Jam 12.45 pm, pegawai penyiasat, DSP Jude Pereira menghubungi Encik Nair bagi memastikan kehadiran kami dan Encik Nair mengesahkan kehadiran kami serta kami akan sampai di IPK KL tepat jam 2.00 pm. Kami bercadang untuk makan tengahari dengan masa yang sesingkat mungkin di rumah saya sebelum bertolak ke IPK KL. 5 minit kemudian kami ditahan oleh satu pasukan polis yang bertopeng dan dilengkapi senjata dekat rumah saya.

Saya ditahan dan dibawa ke IPK KL. Saya bekerjasama sepenuhnya dengan pihak polis dengan memberi pernyataan beramaran dari jam 2.20pm hingga sekitar jam 7.30pm. Sehingga ke saat ini, pegawai penyiasat dan para pegawai lainnya menjalankan tugas mereka dengan profesional. Saya diberi jaminan oleh Penolong Pesuruhjaya Polis Razali dan kemudiannya oleh Penolong Pesuruhjaya Kanan II Khor melalui peguam saya bahawa saya akan dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama.

Namun demikian, ketika saya dalam perjalanan pulang dari Hospital Besar Kuala Lumpur, pegawai penyiasat DSP Jude Pereira memberitahu saya dan para peguam bahawa saya akan terus ditahan di lokap semalaman di atas tujuan untuk merekodkan keterangan saya pada keesokan paginya

Saya bersama para peguam membantah penahanan saya dengan alasan, kami bersedia untuk kembali serta membantu pihak polis dalam merekodkan keterangan saya pada bila-bila masa sahaja. Kami berpendapat tidak perlu bagi saya ditahan semalaman dan saya wajar dibebaskan dengan jaminan polis. Pihak polis, melalui pegawai penyiasat tetap berkeras agar saya terus ditahan dalam lokap untuk semalaman walau menyedari keadaan fizikal saya. Saya terpaksa bermalam dalam lokap dan tidur berlantaikan simen dingin yang ternyata menjejaskan sakit belakang yang saya alami akibat dipukul keras oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Nor pada 20hb September 1998.

Pagi ini sejurus selepas keterangan saya diambil sekitar 30 minit, saya dibebaskan dengan jaminan polis. Saya berada dalam keadaan kesakitan dan segera mendapatkan rawatan apabila sampai di kediaman saya.

Saya sekarang berhasrat untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Dato Mohd Bakri Mohd Zinin berhubung kenyataannya yang tertera di akhbar Utusan Malaysia hari ini, di antara lain menyebut:

Pasukan khas bertopeng polis terpaksa memintas kenderaan DSAI di Bukit Segambut di sini dan menahan Anwar ekoran tindakan Penasihat PKR itu mengubah haluan kenderaannya pada saat-saat tempoh yang diberi kepadanya untuk menyerah diri kepada polis pada pukul 2 petang ini hampir berakhir.

Ini adalah pembohongan nyata dari Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah yang sebenarnya ingin menutupi tindakan memalukan mereka yang ternyata menyalahgunakan kuasa. Saya memberi jaminan dan sebenarnya telah pun memberitahu pegawai penyiasat tersebut akan kesediaan saya untuk hadir melalui peguam saya yang turut berada bersama, 5 minit sebelum diserang hendap oleh pihak polis.

Selain kenyataan di atas, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Wan Farid juga membuat kenyataan, sebagaimana yang dilaporkan oleh Star Online,

Saya dengan sukarelanya menaiki kenderaan polis tanpa sebarang insiden.

Ini sememangnya satu pembohongan dari kerajaan.

Saya mengecam Ketua Polis Negara kerana penyalahgunaan kuasa yang dikenakan ke atas diri saya berasaskan peristiwa yang saya nyatakan di atas. Kelihatan insiden-insiden yang berlaku beberapa hari lepas, seperti, cara saya ditahan, terpaksa bermalam dilokap walaupun tidak perlu, merupakan satu tindakan terhadap saya yang bersifat dendam peribadi , terutamanya berhubung laporan polis ke atas beliau yang sekarang disiasat Badan Pencegah Rasuah.

DNA

Saya mempunyai alasan munasabah untuk tidak lagi mempercayai sistem.

Alasan saya ialah sepanjang perbicaraan kes liwat tahun 1998 yang merupakan satu pertuduhan palsu, bukti DNA yang dipalsukan digunakan ke atas saya. Individu-individu yang terlibat dalam pemalsuan bukti-bukti pada ketika itu, yang sekarang ini ialah Ketua Polis Negara, Penolong Pesuruhjaya Kanan Rodwan dan Peguam Negara, aktor-aktor penting penyiasatan sekarang.

Sehingga sekarang saya dihalang dari mendapatkan laporan polis yang dibuat oleh petuduh terhadap saya.

Petuduh masih dibawah jagaan polis, oleh kerana itu ada kemungkinan besar pemalsuan akan belaku jika mereka mengambil DNA saya.

Keputusan untuk tidak membenarkan ujian DNA ke atas diri saya adalah di atas nasihat peguam dan juga pakar DNA tempatan dan juga antarabangsa.

ANWAR IBRAHIM

(Dimuat turun dari blog www.anwaribrahim.com)

Sambungan...

17 Julai 2008

Saiful Bukhari Azlan tinggal di kondominium mewah RM2.2 juta?

Mungkin ramai yang ingin mengenali siapa susuk watak Saiful Bukhari Azlan yang telah 'menggegarkan' negara dan antarabangsa tentang aduan dan dakwaan liwatnya oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun kes ini belum pun diputuskan kesahihannya malah masih dalam siasatan mengikut lunas undang-undang, namun segala tindakan individu selama ini masih menimbulkan tanda-tanya yang sehingga kini belum lagi muncul daripada 'tempat persembunyiannya' walaupun setelah membuat aduan dan laporan polis di pondok polis Hospital Kuala Lumpur pada 28 Jun lalu.

Satu laporan menyiarkan Saiful disifatkan sebagai seorang yang aktif berpersatuan sejak menuntut di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di Bangi dan pernah bertanding dalam MPP (Majlis Perwakilan Pelajar), sesi 2006/07 dan beliau didakwa satu-satunya calon MPP yang pro-Aspirasi yang dilihat berpihak kepada kerajaan.

Bekas pelajar jurusan kejuruteraan elektrik, yang tidak menamatkan pengajiannya tahun lalu, dalam pilihanraya umum Mac, mempamerkan sokongan kepada perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan BN di laman sosialnya di Friendster.

"Walaupun dia mengiringi Anwar untuk kempennya, tetapi di laman maya, dia berkempen untuk BN," kata sumber yang dipetik daripada Malaysiakini dan beliau juga didakwa merupakan sukarelawan kempen KeADILan sewaktu pilihan raya umum yang lalu.

Dalam pada itu perkara yang agak menghairankan banyak pihak ialah kemampuan Saiful menyewa Unit 1151 of Kondominium Desa Damansara di Kuala Lumpur jika dilihat dari sudut latar belakang pekerjaannya.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan sebuah unit kondo mewah itu berharga sekitar RM 2.2 juta manakala sewa bulanannya adalah diantara RM7,500 sehingga RM15,000 yang mana terdapat kemudahan seperti sauna, kolam renang, gelanggang squash dan tennis serta 'fitness centre'.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak yang dipetik sebagai berkata mengakui gambar yang tersiar diambil ketika Saiful datang ke pejabatnya pada 12 Februari lalu bersama seorang rakan untuk berjumpa dengan pegawainya bagi mendapatkan sokongan untuk mendapatkan biasiswa dari kerajaan melanjutkan pelajaran.

"Dia (pembantu Anwar) seorang pemimpin di kalangan pelajar. Dia pun ambil gambar dengan pemimpin lain. Soalnya bukanlah peranan sesiapa tetapi sama ada perkara itu berlaku atau tidak. Saya bukan orang di sebalik perkara ini. Itu terserah pada polis untuk tentukan," katanya.
Najib berkata pembantu Anwar itu merupakan bekas pemimpin pelajar di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) manakala pegawainya di dalam gambar itu bertanggungjawab antara lain, bagi perkara berkaitan dengan pendidikan tinggi.

"Adalah menjadi lumrah tetamu, terutamanya para pelajar yang datang ke pejabat TPM (Timbalan Perdana Menteri), untuk mengambil gambar dengan pegawai-pegawai sebagai kenangan lawatan mereka," katanya.

Sumber Petikan

Sambungan...

16 Julai 2008

Anwar Ibrahim DiTahan Polis Bertopeng

Polis menahan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar rumahnya di Segambut Dalam dan dibawa ke ibu pejabat polis Kuala Lumpur tengahari ini.

Beliau ditahan sekumpulan anggota polis, termasuk yang bertopeng dan berjaket - dipercayai Bahagian Jenayah Berat, kira-kira sejurus tiba dari Putrajaya selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya.

Menurut peguam R Sivarasa, pihak polis telah menunggu kepulangan Anwar dan sebaik sahaja tiba, mereka membawa mantan timbalan perdana menteri itu, ke dalam kereta polis bercermin gelap dan membawanya ke IPK Kuala Lumpur.

Anwar tiba di IPK Kuala Lumpur jam 1.11 tengahari dengan dikawal oleh konvoi 15 kenderaan.

Manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan kepada pemberita di Parlimen bahawa Anwar telah ditahan.

Katanya, beliau menerima panggilan telefon dari Anwar yang mengesahkan bahawa beliau telah ditahan.

Anwar juga, katanya, memberitahu bahawa beliau dilayan secara kasar oleh anggota polis yang menahannya itu.

Wan Azizah berkata, Anwar memintanya pulang ke rumah untuk menenangkan anak-anaknya dan kemudiannya pergi ke pejabat polis terbabit.

Naib presiden PKR, Azmin Ali tiba kira-kira jam 1.26 tengahari, dan menyifatkan tindakan polis itu sebagai "tidak bertamadun" kerana Anwar telah mengesahkan akan datang.

Lagi pula, tambahnya, masa yang diberikan oleh polis sehingga jam 2 petang juga belum lagi tamat.

Beliau juga menyifatkan tindakan polis sebagai tidak wajar kerana Anwar dikeluarkan dari keretanya di tepi jalan utama.

Kira-kira 200 penyokong Anwar termasuk ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat kini berhimpun di IPK Kuala Lumpur.

Mereka termasuk Yusmadi Yusof, Zuraidi Kamaruddin, Dr Zulkifly Ahmad, Dr Hatta Ramli, Tian Chua serta Karpal Singh.

Wan Azizah pula tiba dengan anak perempuannya, Nurul Nuha pada jam 1.30 hari.

Difahamkan Anwar akan didakwa mengikut Seksyen 377C, Kanun Keseksaan. Dalam pindaan terbaru, peruntukan ini berbunyi seperti berikut: Di bawah seksyen ini, seseorang melakukan kesalahan jika dia membuat hubungan seks dengan orang lain dengan memasukkan sesuatu benda ke dalam faraj atau dubur orang yang satu lagi itu.

Jika sabit kesalahan, orang yang melakukan kesalahan itu boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.

edyes wrote:

Wahai polis dan kerajaan !

Negara ini adalah negara yang bertamadun !

Tergamak kamu tahan Anwar ditepi jalan !!!!! sedangkan beliau telah bersetuju untuk hadir jam 2 petang !!

Kesabaran rakyat yang kian tipis ini jangan dicabar !!!

Kamu jangan ingat kami akan berdiam diri !!

Apakah sejarah pahit 1998 akan berulang?? adakah itu yang paklah mahu !!!

Sumber Petikan

Sambungan...

15 Julai 2008

Khairy Jamaludin Bangkrap?

" Assalamualaikum..,,
Selawat dan Salam ke atas Junjungan..,,

Tanggal 15hb julai 2008,DSAI ditangkap.Di sebelah malam sehari sebelum itu, DSAI berdebat dengan Menteri(hantu)Penerangan Malaysia dengan tajuk "hari ini bentuk kerajaan,esok turun harga minyak".Satu debat yang telah berjaya menjadi wadah kepada DSAI untuk menyampaikan mesej jelas kepada ketidakmampuan kerajaan merancang dan meringankan beban rakyat.Debat itu juga telah berjaya mendedahkan pembohongan Ahmad Shabery Cheek,Menteri(hantu) Penerangan Malaysia.

Kegagalan Shabery menampilkan hujah dan bukti bahawa kerajaan sudah melakukan segala yang termampu untuk membendung kenaikan harga minyak mengundang padah kepada dirinya dengan desakan dari pelbagai lapisan masyarakat agar dia segera meletakkan jawatan.Namun pada tanggal 15hb.julai 2008 disebelah paginya,Khairy Jamaluddin mengaum di Parlimen,mengulangi apa yang telah dihujahkan oleh Shabery di malam sebelumnya.

Khairy dengan angkuh menyatakan di Parlimen bahawa DSAI berbohong bilamana DSAI menyatakan komintmentnya menurunkan dengan kadar segera harga minyak sebanyak 50 sen bilamana PR membentuk kerajaan.Semua boleh dengar apa yang Shabery katakan bahawa beliau mendengar janji penurunan harga minyak itu sebelum pilihanraya dulu,pada ketika harga minyak sebanyak RM1.92.Janji penurunan sebanyak 50 sen bermakna harga yang diturunkan lebih tinggi dari harga sebelum pilihanraya sedangkan DSAI berjanji untuk menurunkan harga sebelum pilihanraya yang pula bermakna harga minyak yang dijanjikan itu sepatutnya lebih rendah dari RM1.92.Bagi Shabery DSAI telah berbohong kerana janji menurunkan harga semasa lebih tinggi dari harga sebelum pilihanraya.

DSAI kemudiannya menjelaskan penurunan itu adalah langkah awal dengan mengambil kira segala kerosakan,kebocoran dan pembaziran pendapatan negara akibat perbuatan pemimpin BN.Satu penerangan yang jelas dari DSAI dan boleh difahami oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang pendidikan mereka.Tetapi Khairy Jamaludin sebagai MP yang dipilih mewakili Rembau kemudiannya mengulangi apa yang disebut oleh Shabery serta menyatakan DSAI berbohong dengan janji penurunan tersebut.Walaupun Azmin ALi bangun menjelaskan maksud DSAI itu namun Khairy tetap berkeras dengan dakwaannya kerana menurut Khairy rakyat mahukan harga yang dijanjikan sebelum pilihanraya.

Sebenarnya,untuk makluman Khairy rakyat tidak mahu harga sebelum pilihanraya,tetapi rakyat faham dan terima idea DSAI.Khairy Jamaludin sebenarnya berbohong bilamana mengatakan rakyat masih mahukan harga sebelum pilihanraya.DSAI telah menjelaskan bahawa penurunan sebanyak 50 sen itu adalah langkah awal sebelum langkah susulan untuk menurunkan harga selanjutnya diambil,Maknanya pergerakan penurunan harga akan menuju kepada harga sebelum pilihanraya.Itu sudah memadai dari penegasan mahukan harga sebelum pilihanraya sedangkan di pihak kerajaan tidak kedengaran pun usaha dibuat untuk menurunkan harga minyak.Pada Shabery dan kerajaan, semua yang dikatakan oleh DSAI adalah usaha populis untuk meraih sokongan, sedangkan mereka sudah bangkrap idea.Dan yang paling bangkrap ialah Khairy Jamaludin sehingga akhirnya membawa dia berhujah seperti budak sekolah darjah 6,bukannya sebagai lulusan Oxford.

Pernyataan kebangkrapan idea Khairy diperkukuhkan lagi bilamana dia sekali lagi mendakwa DSAI berbohong ketika mengusulkan riizab IPP dikurangkan sebanyak RM2 billion.Kata Khairy kalau rizab itu dapat dijimatkanpun,wang tersebut akan masuk ke TNB bukannya kepada kerajaan.TNB menurut KHairy ialah syarikat awam dan kerajaan tidak ada hak untuk mengambil duit daripadanya.Hujah yang bangang sebenarnya.Dan dengan hujah yang bangang inilah Khairy cuba membangangkan rakyat.Khairy lupa rakyat Malaysia bukan seperti 50 tahun dahulu boleh diperbodohkan dengan kenyataan sebegini.

Hujah Khairy Jamaludin sebenarnya hujah teknikal sahaja atau lebih tepat hanyalah persoalan perakaunan yang tidak harus dijadikan halangan kepada kerajaan yang ingin menolong rakyat.Tetapi kerana keengganan kerajaan "mengkuruskan" sedikit perut mereka,maka hujah sebegini dijadikan alasan.Sungguh bangang dan bangkrapnya Khairy.Sekaligus mengajak rakyat seluruhnya bangkrap.

Khairy Jamaludin,untuk makluman kamu, Malaysia hari ini dipenuhi oleh akuantan bertauliah yang bila bila masa sahaja bersedia untuk mengambil RM2 billion itu dari akuan IPP dan TNB.Kamu Khairy Jamaluddin sudah bangkrap dan sepatutnya hidup sebagai seorang yang bangkrap sepertimana dikehendaki undang undang."

Petikan Sini

Sambungan...

14 Julai 2008

Tindakan polis melampau, bohongi rakyat dua kali

Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin menyelar tindakan pihak polis dan anggota keselamatan yang menjalankan sekatan jalan raya dengan kawalan yang menyusahkan orang ramai.

ImageMenurutnya, pihak polis telah mengadakan kawalan ketat sekitar Pasar Seni atau Central Market sejak pagi tadi sehingga menimbulkan rasa takut dan kurang senang peniaga serta orang ramai yang berkunjung di sana.

"Ini merupakan tindakan intimidasi atau gangguan yang dibuat pihak polis secara melampau terhadap proses perjalanan demokrasi di negara ini," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau turut menafikan bahawa wujudnya perancangan bagi mengadakan perhimpunan oleh Pakatan Rakyat khususnya KeADILan dalam usaha menyokong usul tidak percaya ke atas Perdana Menteri di Parlimen.

"Tiada sebarang perancangan mahupun usaha untuk mengadakan perhimpunan mengenai isu terbabit," katanya.

Katanya, ini secara tidak langsung membuktikan pihak polis sengaja mengada-adakan cerita bahawa KeADILan dan parti-parti komponen Pakatan Rakyat menganjurkan perhimpunan.

ImageBercakap kepada media di pekarangan Pasar Seni, beliau melahirkan kekesalan yang bertindak secara tidak profesional dengan menghalang beliau bercakap dengan pihak pemberita.

"Saya amat kesal dengan tindakan melampau pihak polis bagi menangani hal ini, mereka tidak profesional dan tidak demokratik," tegasnya.

Beliau turut menafikan bahawa wujud usaha mengadakan juga perhimpunan tersebut meskipun kononnya ia gagal diadakan di parlimen pagi tadi.

"Kita mendapat arahan daripada OCPD Dang Wangi, serta notis-notis yang ditampal di sekitar Pasar Seni ini melarang sebarang anjuran perhimpunan di kawasan tersebut," ujarnya.

Bahkan, beliau hanya datang bertiga ke lokasi yang didakwa akan dibuat perhimpunan tersebut.

Sejak pagi tadi, sekitar kawasan Pasar Seni dikawal ketat oleh tidak kurang daripada 100 pegawai polis berpakaian uniform serta lebih 100 anggota berpakaian preman daripada bahagian depan, sisi dan belakang bangunan tersebut.

ImageBeberapa trak polis, FRU, motosikal, van dan kereta peronda berbaris panjang di sepanjang jalan dan sisi pasar seni mengundang tanda tanya orang ramai yang lalu-lalang.

Malah, pihak media juga diminta oleh pihak polis untuk segera meninggalkan lokasi Pasar Seni setelah Shamsul beredar dari tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, salahuddin Ayub pula menempelak tindakan pihak polis yang secara keterlaluan mengadakan sekatan jalan raya di seluruh jalan menuju ke bandaraya Kuala Lumpur.

"Tiada sebarang perhimpunan yang dianjurkan, ini merupakan pembohongan kali kedua oleh pihak tertentu.

"Takkan kita sebagai pimpinan Pakatan Rakyat tidak mengetahui mengenai perancangan untuk melaksanakan perhimpunan ini," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau turut mendakwa apa yang dilakukan pihak polis adalah untuk mengharu-birukan situasi seolah-olah ingin menggambarkan kepada rakyat bahawa sekiranya usul undi tidak percaya diterima di Dewan Rakyat, keadaan akan menjadi tidak stabil.

"Kita kesal dengan kemarahan rakyat dengan tindakan polis yang sengaja mengundang keresahan di hati mereka.

"Apa yang jelas, kerajaan Umno-BN mahu menakut-nakutkan rakyat dalam situasi pelabur telah hilang keyakinan terhadap negara," ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Whip Parlimen, turut melahirkan rasa tidak puas hati apabila para pengamal media alternatif tidak dibenarkan membuat liputan di Dewan Rakyat khususnya mengenai usul undi tidak percaya oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Petikan Harakah

Sambungan...

13 Julai 2008

Robohnya Tembok Perkauman

Dulu semasa kecil kita pernah disuruh meludah jika ada kereta bawa jenazah orang Cina melalui jalan. Kita juga didoktrinkan dalam kepala kita bahawa setiap Cina itu adalah komunis. Mesti dimusuhi. Malah ada tok guru menyatakan "halal" mencuri harta benda orang Cina. Di sekolah, guru-guru senantiasa mengingatkan tentang peristiwa 13 Mei. Kisah orang Cina belah perut orang Melayu dan "parang terbang" orang Melayu. Begitu kuat fahaman perkauman ketika itu.
Orang Cina merasai mereka dilayan sebagai warga kelas dua. Ramai cerdik pandai mereka berhijrah ke luar negara.

Tembok perkauman begitu sukar dirobohkan. Mengapa? Faktor utamanya kejahilan agama dan sistem politik yang sememangnya menangguk air keruh dan menjadikan isu perkauman sebagai modal pilihanraya.
Parti pemerintahan yang diketuai UMNO dan sekutunya MCA menjadikan isu perkauman sebagai modal untuk terus memerintah. Kadangkala DAP terikut menari dengan gendang perkauman. UMNO menjadikan kursus BTN sebagai tempat 'membasuh otak 'Melayu agar benci orang Cina. Ini fakta dan tiada khilaf!
Sehinggalah tahun 1986, ketika TG Hj Hadi berucap kepada orang-orang Cina di Batas Baru,Kuala Terengganu. Antara kandungan ucapannya, beliau menyatakan orang Cina boleh menjadi PM Malaysia dengan syarat berugama Islam. Beliau juga menyatakan hak-hak keistimewaan orang Melayu umpama seperti Red Indian di Amerika Syarikat.
PAS mula mengorak langkah memperkenalkan Keadilan Islam untuk semua. PAS mendapat undangan dari orang Cina untuk berceramah di tokong, sekolah dan juga dewan perniagaan mereka. Majlis Perundingan Cina(CCC) ditubuhkan. Orang Cina mula mendapat gambaran sebenar Islam dari PAS. Gambaran Islam dari UMNO mula diragui. Bagi UMNO, Islam hanya untuk Melayu. Ketika itu kaum India masih tidak begitu pedulikan politik. Mereka selesa dengan MIC. Samy Vellu begitu suci buat mereka.
Kini setelah 22 tahun usaha PAS mendekati orang Cina, hasilnya mula kelihatan. Orang Cina tidak takut lagi dengan PAS. Mereka dengan bangganya mengibarkan bendera PAS. Mereka sedar selama ini UMNO menipu mereka. Orang Cina sedar PAS bukannya gambaran buruk yang diberikan oleh UMNO. Generasi muda Cina mula mendekati PAS melalui maklumat internet.

Detik pembebasan Lim Eng Guan dari penjara adalah peristiwa bersejarah menyaksikan gandingan Melayu dan Cina bersatu menentang kezaliman buat pertama kalinya. Akhbar-akhbar Cina memberi publisiti yang hebat kepada PAS. Orang Cina mula mengerti mengapa PAS begitu bersungguh untuk menegakkan hukum Islam. Kes Canny Ong bukti begitu parahnya jenayah di Malaysia akibat tidak melaksanakan Syariat Islam.
Manakala orang India mula melahirkan sokongan kepada PAS apabila melihat kezaliman terhadap mereka semakin meningkat oleh UMNO. Antaranya perobohan kuil mereka yang berusia 40 tahun di Selangor oleh Khir Toyo.

Selama ini mereka sekadar melihat masjid diroboh di Bujal dan penutupan surau di Selangor oleh UMNO. Orang India mula terfikir tentang keadilan Islam. Mereka melihat di Kelantan tiada berlaku perobohan kuil walaupun mereka minoriti. Orang India tetap sokong PAS walaupun PAS menyatakan bukan semua memorandum Hindraf betul dan tepat.
Kini orang Cina dan India tahu siapakah yang sebenarnya yang betul-betul ingin menegakkan keadilan sejagat. Hasilnya dalam PRU 12 banyak tempat di Selangor, Johor, Perak dan Kedah yang mempunyai ramai pengundi Cina dan India mengundi PAS.
Dalam kegawatan politik tanahair kini, PAS perlu tonjolkan mereka adalah penyelamat Malaysia. Rakyat menaruh harapan yang tinggi terhadap PAS. Tembok perkauman telah dirobohkan. PAS perlu ambil peluang ini untuk memberi alternatif politik kepada rakyat. Selama 51 tahun kita dimental blokkan dan dimitoskan bahawa UMNO dan BN segala-galanya. PAS for ALL.

Tok Pepijat

Sambungan...